Nation
88

PKPD di beberapa kawasan di Sarawak, Kelantan & Sabah bermula esok

Kuala Lumpur – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di beberapa kawasan di Sarawak, Kelantan dan Sabah, bermula esok hingga 1 Mei, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam kenyataan mengenai PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini beliau berkata, pelaksanaan PKPD di kesemua kawasan itu dilakukan, setelah penilaian risiko dibuat bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, PKPD di Sarawak melibatkan Kampung Tengah, daerah Betong dan Taman Mesra Bako, Kuching; Sekolah Menengah Sains Machang (Kelantan); Sekolah Menengah Agama, Kota Kinabalu; serta tiga lokaliti di Lahad Datu dan tiga taman perumahan di daerah Tawau, Sabah.

Tiga lokaliti di Lahad Datu membabitkan Kampung Bikang, Kampung Kadumu dan Taman Khazanah Indah, sementara tiga taman perumahan di daerah Tawau melibatkan Taman Hilltop, Taman Bukit Bintang dan Taman Berkley.

Ismail Sabri berkata PKPD dilaksanakan di kesemua kawasan terlibat setelah KKM mengesahkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19 dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD di kesemua kawasan berkenaan juga, sama ada untuk memastikan pergerakan penduduk dapat dikawal atau memudahkan KKM melaksanakan saringan bersasar serta menyekat penularan COVID-19 di lokaliti terbabit dan ke komuniti luar.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPD bagi seluruh kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu, dilanjutkan hingga 2 Mei.

Beliau berkata, KKM melaporkan masih berlaku penularan jangkitan COVID-19 secara berterusan dalam kalangan penghuni asrama tersebut, serta terdapat sejumlah 1,956 sampel saringan yang belum mendapat keputusan.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 4,524 ujian saringan dan daripada jumlah itu 28 kes positif COVID-19 direkodkan di lokaliti ini,” katanya.

Selain itu Ismail Sabri berkata, PKP di daerah Keningau serta PKPD Kampung Pagalungan Ansip, Keningau dan Kampung Kalindukan, Nabawan di Sabah ditamatkan esok (18 April) seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Pada masa sama, PKPD lima kawasan taman perumahan dan perkampungan di daerah Pekan, Pahang melibatkan Taman Mentiga Jaya, Taman Perdana, Perkampungan Peramu Jaya 3, Taman Sepekan Makmur, dan Kampung Pulau Serai turut ditamatkan hari ini, lebih awal daripada dijadualkan (22 April) kecuali di Pusat Komuniti Bersepadu Pulau Serai yang dilanjutkan sehingga 22 April.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata 72 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam, dengan kesemuanya dikompaun. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu