Nation
2K

PKPD: Pengangkutan awam dibenar beroperasi dengan kapasiti 50% penumpang

Putrajaya – Kementerian Pengangkutan (MOT) membenarkan semua pengangkutan awam iaitu perkhidmatan kereta api, komuter, bas dan feri beroperasi sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sebahagian besar Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan kementerian itu semalam, bagaimanapun perkhidmatan terbabit hanya dibenarkan membawa penumpang pada kapasiti 50 peratus.

Surat kebenaran yang diperoleh daripada Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) masih sah untuk sepanjang PKPD itu, kata MOT.

“Pemohon tidak perlu memuat turun surat kebenaran baharu sekiranya mereka telah memperoleh kebenaran sebelum ini,” katanya.

SMILE diperuntukkan untuk syarikat sektor pengangkutan komersial dan logistik, termasuk pengangkutan udara dan air, kurier serta gudang semasa penguatkuasaan Kawalan Pergerakan.

Bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing pula, hanya dua orang termasuk pemandu dibenarkan di dalam kenderaan pada satu-satu masa.

Kementerian itu berkata pengangkutan komersial dan kegiatan berkaitan rantaian bekalan perkhidmatan perlu menerusi darat, udara dan laut dibenarkan beroperasi semasa PKPD, termasuk perkhidmatan penghantaran makanan dan bungkusan, manakala lapangan terbang dan pelabuhan juga beroperasi seperti biasa.

“Perkhidmatan pelabuhan dan perusahaan berkaitan seperti limbungan kapal, tongkang, pengendalian kargo dan komoditi, pemaliman, serta memuat dan memunggah dalam kawasan pelabuhan adalah dibenarkan,” kata MOT.

Sementara itu, kegiatan memuat dan memunggah di luar kawasan pelabuhan di bawah PKPD hanya dibolehkan untuk perkhidmatan perlu yang dibenarkan sahaja, katanya.

“Jumlah penumpang yang dibenarkan menaiki kenderaan komersial dan logistik tertakluk kepada pendaftaran kenderaan masing-masing,” katanya.

MOT berkata perkhidmatan kaunter oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat, Jabatan Laut Malaysia dan Puspakom Sdn Bhd akan ditutup sepanjang PKPD, namun sekatan itu tidak terpakai bagi perkhidmatan kaunter di kawasan bukan lokaliti PKPD di Kuala Lumpur.

Pada 30 Jun, MOT mengumumkan pembukaan semula perkhidmatan kaunter di bawah Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara bagi transaksi dan perkhidmatan yang tidak disediakan dalam talian. Perkhidmatan kaunter ini hanya untuk urusan yang tidak boleh dijalankan dalam talian dan kehadiran secara fizikal hanya melalui janji temu.

 

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu