Nation
131

PKPD Penjara Tapah dilanjutkan hingga 12 April

Kuala Lumpur – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah, Batang Padang, Perak yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan mulai 30 Mac hingga 12 April ini selepas masih berlaku jangkitan COVID-19 melibatkan tahanan.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD di kuarters kakitangan penjara itu ditamatkan esok, seperti yang dijadualkan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan masih berlaku jangkitan COVID-19 melibatkan tahanan dengan 27 kes positif terakhir dilaporkan pada 25 Mac. Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 3,787 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 834 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

Bagaimanapun, peningkatan kes ini tidak melibatkan anggota serta ahli keluarga yang tinggal di kuarters kakitangan penjara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan mengenai pelaksanaan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Pusat Jagaan Rohaniah, Sekolah Integrasi Ikhwan, Pasir Puteh, Kelantan bermula esok hingga 11 April ini susulan berlaku peningkatan kes secara mendadak dengan 25 kes positif COVID-19 direkodkan di lokaliti itu. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu