Social
186

PKPD Sains Banting: Pelajar pertama bergejala disahkan positif 15 April lepas

Shah Alam – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah (SM) Sains Banting, Kuala Langat yang bermula hari ini adalah susulan seorang pelajar Tingkatan 1 dikesan bergejala pada 12 April lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Langat Mohd Jusni Hashim berkata pelajar itu telah disahkan positif pada 15 April manakala kes positif ke-2 dan kes-3 pula adalah kontak rapat kepada kes pertama.

“Hasil daripada tiga kes yang dikesan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah menjalankan siasatan serta penilaian awal dan telah menjalankan 206 ujian saringan awal ke atas kontak rapat. Daripada jumlah itu, 71 pelajar disahkan positif COVID-19.

“PKD Kuala Langat juga mengesahkan penularan kes masih berlaku di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi. Ia berikutan jangkitan COVID-19 ke atas Kluster Jalan Shah Banting,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata PKPD itu melibatkan keseluruhan kawasan SM Sains Banting yang terdiri daripada 966 pelajar, guru dan kakitangan sekolah.

Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di sekolah itu bermula hari ini hingga 7 Mei depan selepas 71 pelajar disahkan positif COVID-19 daripada sejumlah 473 ujian saringan yang dilakukan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu