Nation
744

PKPD : SJR di Selangor bermula tengah malam ini

Kuala Lumpur – Pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) adalah kaedah utama yang dilakukan oleh Polis Selangor, dalam penugasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke atas 34 mukim di Selangor, bermula tengah malam ini, lapor BH Online.

Jumlah SJR juga akan ditambah berdasarkan keperluan di setiap mukim yang bakal dilaksanakan PKPD.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata adalah mustahil untuk pihak polis melaksanakan kaedah sama seperti PKPD yang dilaksanakan di beberapa lokaliti kecil yang mudah dikawal.

“Tidak seperti PKPD di lokaliti yang mudah dikawal seperti adanya pemasangan kawat berduri dan tembok batu kerana PKPD yang diumumkan ini membabitkan kawasan yang lebih besar.

“Namun penguatkuasaan akan tertumpu terhadap kawalan SJR di setiap laluan keluar dan masuk ke sesuatu mukim yang diumumkan sebagai kawasan PKPD,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Arjunaidi berkata, selain penugasan SJR, pasukan pematuhan dan pasukan pemantau di setiap daerah di Selangor, akan menjalankan penguatkuasaan di lapangan terutama di kawasan tumpuan ramai.

“Kita akan memastikan mereka mematuhi setiap arahan yang sudah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi memastikan penularan pandemik COVID-19 dapat diputuskan.

“Sehubungan itu, Polis Selangor, menasihatkan orang ramai untuk bersama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk terus kekal berada di rumah sekiranya tidak mempunyai keperluan dan urusan kecemasan,” katanya.

PKPD di Selangor membabitkan 34 daripada 57 mukim di lapan daripada sembilan daerah iaitu daerah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, dan Hulu Selangor.

Mukim berkenaan adalah Petaling, Damansara, Sungai Buloh, Bukit Raja (daerah Petaling); Hulu Langat, Ampang, Cheras, Kajang, Semenyih, Beranang, (daerah Hulu Langat); Dengkil; Batu, Rawang, Setapak, Hulu Kelang, Kuang (daerah Gombak).

Tanjung 12 (1), Tanjung 12 (2), Teluk Panglima Garang, Morib, Bandar Jugra, Batu (Daerah Kuala Langat); Kapar, Klang (daerah Klang); Ijok, Bestari Jaya, Jeram (daerah Kuala Selangor) dan Serendah, Rasa, Ulu Yam, Batang Kali (daerah Hulu Selangor).

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu