Politics
175

PKR akur arahan tangguh kongres

Kuala Lumpur -PKR akur arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya menangguhkan Kongres Nasional PKR 2020 yang dijadualkan hari ini dan akan mengumumkan tarikh baharu kongres itu kelak.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tindakan meneruskan kongres boleh menyebabkan parti itu dikenakan tindakan mengikut Ordinan Darurat.

“Kongres ini sepatutnya diadakan Disember tahun lalu, tetapi pada masa itu penangguhan 18 bulan dibenarkan kerana situasi COVID-19 dan tempoh penangguhan berakhir hari ini.

“Namun, kita tangguh lagi ke satu tarikh hingga 30 Jun ini dan ia juga masih mengambil kira situasi pandemik negara,” katanya pada sesi ‘Amanat Presiden PKR’ secara maya hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, PKR akan mendapatkan nasihat MKN dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebelum menyambung semula kongres itu supaya perkara sama tidak berulang.

MKN semalam berkata, Kongres Nasional PKR ke-15 yang dijadualkan hari ini, boleh ditangguhkan hingga 30 Jun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Rabin Basir, berkata ia berdasarkan pandangan RoS berkenaan perkara itu.

Pengarah Kongres Nasional PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan semalam, turut memaklumkan PKR sudah menerima surat daripada MKN dan makluman lisan daripada RoS, masing-masing pada jam 6.21 petang Jumaat lalu yang mengarahkan kongres berkenaan ditangguhkan.

Persidangan Kongres Nasional Wanita PKR berlangsung kelmarin, manakala Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) diadakan semalam, kedua-duanya secara maya. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu