Politics
603

PKR juga tidak terlepas miliki ahli yang khianat : Anwar

Kuala Lumpur – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, parti itu juga tidak terlepas daripada memiliki ahli yang memiliki sikap khianat, korup dan rasuah.

Untuk itu beliau menyeru, semua ahli supaya terus berpegang dan mempertahankan idealisme perjuangan parti, yang menolak sebarang unsur rasuah, salah guna kuasa dan khianat.

“Kita (perlu) perkuatkan jentera (dan) tingkatkan persefahaman. Adakah kita parti yang sudah ‘perfect’? tidak…ada juga pemimpin yang khianat, ada yang bila ada jawatan mula kumpul harta. Dalam Keadilan (PKR) kita tengok ada juga yang korup, rasuah.

“(Kita) harus kembali menggilap idealisme perjuangan parti…tolak rasuah, keangkuhan, salah guna kuasa. Jangan diizinkan muncul baik kekuatan pemimpin, kerajaan negeri atau tokoh-tokoh yang (akan) membina kelompok kecil, yang memungkinkan kemunculan kelompok kecil yang kita hadapi dahulu yang menikam kita,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2020 yang diadakan sepenuhnya secara maya, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

Kongres Nasional berkenaan yang sepatutnya berlangsung pada 6 Jun lepas diadakan hari ini, selepas diarah supaya ditangguhkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 4 Jun lepas.

Ucapan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu, diikuti kira-kira 2,000 perwakilan, turut menyentuh mengenai pandemik COVID-19 yang dihadapi negara, yang menurutnya hanya dengan mempercepatkan proses vaksinasi, akan membolehkan negara keluar dari kemelut itu dengan segera. — Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu