Politics
251

PKR tuntut RM10 juta daripada Xavier

Kuantan –  Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengemukakan surat tuntutan kepada Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar supaya membayar RM10 juta selepas bertindak keluar daripada parti itu bulan lalu.

Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung, berkata surat berkenaan akan diserahkan peguam parti itu kepada Xavier yang juga bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, esok.

Susulan itu, beliau berkata, Xavier diberi masa sehingga tujuh hari untuk menyelesaikannya.

“Sesiapa yang membuat keputusan untuk meninggalkan parti perlu menerima akibat, mereka seharusnya membayar RM10 juta seperti dipersetujui,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Indera Mahkota 2020 di sini, hari ini.

Pada 13 Mac lalu, Xavier mengumumkan peletakan jawatan serta-merta sebagai Naib Presiden dan ahli PKR, selain menyokong blok kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Chean Chung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu dan Ketua Cabang Indera Mahkota berkata, mesyuarat hari ini akan mengemukakan dua usul iaitu menolak sebarang kerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selain calon Pilihan Raya Umum ke-15 cabang itu harus membabitkan penduduk tempatan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu