Kuala Lumpur Post

Nation

PM Anwar akan sempurnakan majlis kemuncak, penutup Minggu Latihan Kebangsaan 2024

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyempurnakan Majlis Kemuncak dan Penutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024, petang ini di pekarangan parkir B, Stadium Nasional Bukit Jalil.

NTW 2024 yang bermula Isnin, dianjurkan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) di bawah naungan Kementerian Sumber Manusia (KSM), bertujuan menerapkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat melalui peluang meningkatkan kemahiran dan pembelajaran secara percuma.

Program latihan percuma itu melibatkan lima teras utama iaitu kemahiran hidup; kemahiran masa depan; kreativiti dan inovasi; kewangan; dan pembangunan mampan.

Lima teras tersebut dipilih berdasarkan keperluan bakat dan industri di Malaysia.

Setakat Khamis, NTW 2024 berjaya mendaftarkan kira-kira 330,000 rakyat Malaysia dalam 65,000 kursus latihan percuma, melepasi sasaran asal KSM iaitu 200,000 peserta dalam 25,000 kursus.

NTW yang dilancarkan buat pertama kali tahun lalu, berjaya menyediakan lebih 21,000 kursus latihan percuma kepada lebih daripada 129,000 rakyat Malaysia, di samping mencatatkan lebih daripada 503,000 jam latihan.