Kuala Lumpur Post

Nation

PM Anwar dijangka perjelaskan pengurusan bencana banjir di Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memaklumkan persediaan kerajaan dalam pengurusan bencana banjir pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat disiarkan di laman sesawang Parlimen, Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) bertanyakan persediaan kerajaan dalam melaksanakan pelan komprehensif pengurusan bencana banjir bagi memastikan keselamatan mangsa dan meminimumkan kehilangan harta benda dalam musim Monsun Timur Laut ketika ini.

Pertanyaan itu dikemukakan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Selain itu, Anwar juga dijangka menjawab soalan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) mengenai maksud dan harapan kerajaan apabila melaksanakan konsep Kerajaan MADANI dalam menggalakkan perpaduan dalam kalangan Ahli Parlimen bagi membangunkan negara secara bersama.

Beliau turut bertanyakan harapan Perdana Menteri kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Pada sesi soal jawab pula Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) bertanyakan Menteri Kerja Raya mengenai bilangan lebuh raya yang mempunyai akses kepada laluan motosikal dan pelan terkini bagi menaik taraf laluan itu di lebuh raya yang masih belum dilengkapi dengan laluan berkenaan.

Sementara itu, Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dijadual dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Minggu ini adalah minggu akhir persidangan Dewan Rakyat yang bermula 9 Okt lepas hingga Khamis ini.

Tags: , ,