Kuala Lumpur Post

Nation

PM Anwar lancar sistem PADU esok

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU), iaitu sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah membabitkan warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), esok.

Majlis bermula jam 8.30 pagi hingga 2 petang itu, membabitkan pembentangan mengenai PADU oleh Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan forum bertajuk ‘Memacu Peralihan Melalui PADU’, sebelum Anwar merasmikan sistem berkenaan pada jam 12.15 tengah hari.

Kementerian Ekonomi pada laman Facebook memaklumkan, sistem PADU akan dibuka secara rasmi kepada seluruh rakyat Malaysia selepas majlis pelancaran berkenaan.

PADU berperanan sebagai penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat dan komprehensif yang membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan serta penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data, selain membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.

Maklumat profil akan diperoleh melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai sumber dan sebahagiannya akan dikemas kini individu.

Pelaksanaan PADU bagi meningkatkan kecekapan pengurusan yang memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber.

Ia juga bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan PADU, bagi membolehkan perkhidmatan lebih baik dan cekap disampaikan kepada rakyat.

Selain pemantauan dan penilaian berkesan terhadap pelaksanaan dasar negara, PADU yang juga menjadi pangkalan data yang berintegrasi dan berpusat mampu menjimatkan sumber secara signifikan.

Semua rakyat berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU, serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri diperlukan.

Tags: ,