Kuala Lumpur Post

Nation

PM Anwar mahu GLC sediakan rancangan bantu kakitangan berpendapatan rendah

PUTRAJAYA — Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan rancangan bagi membantu pekerja mereka yang berpendapatan rendah, khususnya dalam mendapatkan akses pendidikan lebih baik buat anak-anak serta isu berkaitan perumahan.

Perdana Menteri berkata, GLC tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab itu hanya kepada kerajaan, sebaliknya mereka juga boleh mengambil peranan sama, memandangkan sebahagian besar GLC ini meraih keuntungan yang besar setiap tahun.

“Saya tanya (tentang) masalah mereka yang tak selesai, umpamanya keluarga miskin tegar di bawah Tenaga (Nasional Berhad) atau Telekom (Malaysia Berhad). Adakah ini masalah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah atau masalah syarikat? tentunya masalah syarikat.

“Kalau ada 15,000 pekerja, sebahagiannya tiada rumah langsung, tak mungkinkah kita fikir ada rencana untuk bina perumahan kepada pekerja sendiri.

“Kita catat keuntungan dan kita bebankan kelompok yang berpendapatan rendah ini kepada kementerian dan kerajaan untuk tangani, saya tak rasa itu munasabah. Sebab itu perlu ada perancangan jelas,” katanya berucap pada Perhimpunan warga Kementerian Kewangan (MOF) bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di sini, hari ini.

Turut sama hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, adalah tidak munasabah ketika syarikat-syarikat itu mencatat keuntungan, namun masih ada anak-anak pekerja mereka terus bergelut untuk mendapatkan akses pembiayaan bagi meneruskan pendidikan mereka.

“Kalau ada syarikat kita catat keuntungan baik dan anak mereka di sekolah, universiti tidak ada dana cukup untuk belajar dan terpaksa ambil PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), ini hal yang perlu diteliti.

“Saya minta dalam tempoh sebulan ini supaya dapat melaporkan kepada kita, apa dia rencana yang ada. Baik rencana pelaburan, Bumiputera, perumahan, pekerja dan cara meningkatkan mutu pendidikan. Saya nak dapatkan laporan ini supaya ada kefahaman dengan jelas.

“Saya mahu lihat juga yang disentuh masalah perumahan mereka, kadar upah, pendidikan mereka. Mana mungkin syarikat kerajaan yang ada pekerja, anak dia nak masuk universiti tak cukup dana, oleh itu tak jadi masuk universiti. Saya tidak fikir hal ini boleh kita pertahankan,” katanya.

Tags: ,