KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kelompok anggota dalam bidang perundangan negara agar terus menyokong inisiatif kerajaan menginstitusikan tadbir urus yang baik.
Beliau berkata inisiatif itu boleh diperkukuh dengan menyokong ketelusan dan memperkukuh usaha semasa kerajaan untuk memastikan mereka dengan kawalan penuh ke atas tampuk kuasa, bertanggungjawab terhadap setiap penyalahgunaan kuasa serta amalan rasuah yang dilakukan.
“Tidak dinafikan bekerja keras untuk kebaikan masa depan adalah penting, tetapi yang sama pentingnya ialah untuk membawa pelaku rasuah di masa lepas ke muka pengadilan.
“Jika mereka diberi kebebasan tanpa akauntabiliti, ia umpama memberi kebenaran kepada mereka untuk melakukan penyalahguaan kuasa pada masa depan. Kita perlu melihat demonstrasi semangat hebat (dalam membanters perbuatan ini) daripada Badan Peguam Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa (IMLC) 2023 di sini hari ini.
Menurut Anwar, ini adalah intipati akauntabiliti demokrasi, bahawa kita bukan sahaja bertanggungjawab, tetapi mesti juga dilihat bertanggungjawab, dan ini juga adalah ciri-ciri utama keadilan.
Dalam perkara ini, saya teringat kepada amanat Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah semasa menaiki takhta pada 1989 sebagai Yang di-Pertuan Agong, yang telah berikrar ‘untuk memerintah Malaysia dengan penuh keadilan berdasarkan Undang-undang dan Perlembagaan Negara…untuk menegakkan undang-undang dan menjamin keamanan Negara’,” katanya.
Merujuk kepada kedaulatan undang-undang, Anwar berkata ia tidak boleh dilihat daripada prisma teori perundangan semata-mata kerana prinsip seperti itu tidak dapat direalisasikan jika orang ramai, atau mereka yang menghadapi kekangan sumber ekonomi, tidak mendapat akses kepada keadilan.
“Dalam hal ini, saya memuji Badan Peguam Malaysia atas usaha gigih mereka dalam menyediakan Bantuan Guaman, melalui skim yang ditubuhkan lebih 40 tahun lepas,” katanya.
Anwar berkata memandangkan profesion undang-undang adalah penting untuk pentadbiran keadilan dan memudahkan aktiviti ekonomi, adalah menjadi harapan beliau agar peguam di Malaysia meneruskan usaha bagi memartabatkan profesion undang-undang dan menjadi satu mercu tanda keadilan, untuk rantau ini dan seluruh dunia.
Perdana Menteri juga berkata “bersikap adil dan saksama” adalah salah satu ciri utama kebebasan kehakiman.