Kuala Lumpur Post

Nation

PM Anwar tarik pelabur Australia dan Asean, kongsi persekitaran kondusif Malaysia

MELBOURNE — Dalam usaha menarik pelabur dan perniagaan Australia dan Asean mempertimbangkan Malaysia secara serius bagi melabur, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan kestabilan politik, kejelasan dasar serta tadbir urus baik dalam mewujudkan persekitaran kondusif untuk pelaburan serta pertumbuhan ekonomi negara.

Sejajar misi meraih perhatian pelabur dan perniagaan Australia serta Asean di acara Persidangan Invest Asean di sini pada Khamis, Anwar yang juga menteri kewangan berkata bawah kepimpinannya, Malaysia berada dalam keadaan stabil dan kukuh.

“Menerusi kestabilan politik ini, kita memberi tumpuan terhadap tadbir urus yang baik. Selain itu, wujud kejelasan dasar iaitu perancangan serta keutamaan yang lebih jelas,” kata beliau di hadapan barisan hadirin antarabangsa yang menghadiri acara berkenaan.

Perdana menteri dalam rangka lawatan rasmi ke Australia pada 4-7 Mac ini atas jemputan rakan sejawatannya, Perdana Menteri Anthony Albanese.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan juga menyedari dalam usaha memacu ekonomi, apa yang penting adalah menyegerakan serta mempercepat kadar keutamaan, sebagai contoh, dalam aspek transformasi digital.

“Kita komited untuk mengambil apa juga langkah wajar bagi memastikan ini dapat direalisasikan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan peranan kerajaan tidak hanya sebagai menyediakan kemudahan berkaitan, tetapi juga melibatkan aspek mempercepat proses serta berupaya mengenal pasti soal keutamaan.

“Bagi saya, isu dengan kerajaan ialah adakalanya kita (menganggap) seperti tahu semua perkara.

“Atas alasan inilah, saya katakan kepada rakan-rakan dalam Jemaah Menteri bahawa walaupun kita telah menggariskan kejelasan dasar ini dari segi peralihan tenaga, kita juga perlu memikirkan mengenai masa depan,” katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai dana kekayaan negara, Anwar menjelaskan walaupun dana itu secara teknikalnya bawah kawalan kerajaan, aspek seperti keputusan perniagaan yang diambil oleh Khazanah Nasional dan Petronas yang dipengerusikan beliau, adalah semata-mata berasaskan matlamat perniagaan.

“Biarpun secara teknikalnya saya mempengerusikannya, saya telah menyatakan dengan jelas. Keputusan itu, keputusan perniagaan adalah berdasarkan garis panduan dasar.

“Keputusan perniagaan mesti dibuat oleh mereka dalam bidang itu, kalangan pakar,” katanya.