Kuala Lumpur Post

Nation

PM Anwar tiba di Berlin untuk lawatan rasmi

BERLIN — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu negara Jerman, hari ini, untuk lawatan rasmi beliau ke negara yang menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah.

Pesawat yang membawa beliau selamat mendarat di Lapangan Terbang Brandenburg di sini, pada jam 10.29 malam Ahad waktu tempatan (5.29 pagi Isnin waktu Malaysia).

Menyambut ketibaan Perdana Menteri di lapangan terbang itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Duta Besar Malaysia ke Jerman Datin Paduka Dr Adina Kamarudin dan pegawai kerajaan Jerman.

Pada Isnin, Anwar dijadual melawat Siemens Energy sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau Canselor Olaf Scholz dan kunjungan hormat ke atas Presiden Frank-Walter Steinmeier.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kemajuan hubungan Malaysia-Jerman terutama kerjasama ekonomi, pendidikan, alam sekitar dan kelestarian selain bertukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Ketika lawatan rasmi enam hari itu, yang turut merangkumi kunjungan bandar pelabuhan Hamburg, Anwar akan bertemu kapten-kapten industri dan para pelabur berpotensi seperti Schott AG, Infineon Technologies AG, Melexis dan Airbus serta menghadiri sesi bersama diaspora Malaysia di negara itu.

Tags: , ,