Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

PM Anwar umum Isnin cuti khas

KAJANG — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 28 Nov sebagai cuti umum sempena pembentukan Kerajaan Perpaduan Nasional dan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

Beliau berkata cuti yang asalnya dicadang diberikan esok terpaksa dianjak ke Isnin depan untuk terus memberikan ruang kepada nilai ringgit dan Bursa Malaysia yang menunjukkan perkembangan positif hari ini.

“Saya bersyukur kerana hari ini dan sebelumnya keadaan dan keyakinan pelabur juga berubah, ringgit diperkuat dan bursa lebih segar.

“Justeru, saya putuskan esok tidak boleh diberi cuti umum tetapi diganti dengan hari Isnin (28 Nov),” katanya pada sidang media pertama beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberikan cuti umum itu namun ia tertangguh susulan urusan penubuhan kerajaan belum selesai selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas.

Terdahulu, orang ramai mula mempersoal di media sosial sama ada esok akan diberikan cuti peristiwa atau sebaliknya sempena pengumuman Perdana Menteri ke-10 pagi tadi.

Ringgit meningkat 1.8 peratus ke paras tertingginya dalam tempoh dua bulan berbanding dolar AS hari ini dan pada 6 petang, ringgit naik 815 mata peratusan kepada 4.4910/5000 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.5725/5775 pada Rabu.

Bursa Malaysia ditutup tinggi pada paras tertinggi tiga bulan dengan indeks utama meningkat sebanyak 4.04 peratus berikutan sentimen pasaran menaik susulan situasi politik tempatan mereda serta perkembangan luaran positif yang mendorong minat risiko pelabur.

Ditanya tentang pendiriannya yang sebelum ini enggan mengambil gaji sebagai Perdana Menteri, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata beliau kekal dengan keputusan itu.

Tegasnya keputusan itu sebagai langkah untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, menteri dan pemimpin parti.

“Tidak… saya telah umumkan bahawa itu langkah pertama untuk pulihkan keyakinan rakyat supaya tak lihat menteri dan pemimpin itu, tak kira parti dan agama, semuanya hanya fikir gaji, kepentingan, kontrak dan saham… maka saya pilih untuk tolak gaji PM,” katanya.

Anwar juga memaklumkan beliau akan memulakan tugas sebagai Perdana Menteri secara rasmi di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya sebelum 10 pagi esok.

Perdana Menteri berkata pegawai beliau telah memintanya berada di pejabat pada 8 pagi namun terpaksa dianjak ke 10 pagi kerana terdapat mesyuarat yang perlu dihadiri sebelum ke sana.

Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong selepas negara berdepan kemelut politik yang menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada parti yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada PRU15, lapor Bernama.

Tags: ,