Nation
209

PM Ismail Sabri pengerusi mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 Rabu

Putrajaya – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 esok, yang antara lain membincangkan kaedah baharu dalam pengurusan pandemik itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara utama yang akan dibincangkan bersama menteri-menteri Kabinet itu adalah, mengenai peralihan ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Lembah Klang, yang kini telah mencapai kadar vaksinasi melebihi 80 peratus.

“PM (Perdana Menteri) sudah sebut mengenai perkara ini. Jadi kita akan bincang ‘the way forward’ secara menyeluruh, merangkumi kaedah baharu dalam menguruskan krisis pandemik COVID-19,” katanya kepada media selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2021 di Dataran Pahlawan Negara, di sini hari ini.

Ismail Sabri sebelum ini dilaporkan berkata, Lembah Klang kini boleh beralih ke Fasa Dua PPN susulan kadar lengkap vaksinasi bagi populasi dewasa telah mencecah 89.5 peratus.

Sementara itu Annuar berkata pada mesyuarat itu, beliau akan membawa cadangan bagi kebenaran aktiviti penggambaran di dalam dan luar studio, mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19.

“Ketika ini, kerajaan hanya benarkan aktiviti penggambaran di luar studio dengan pematuhan SOP ketat. Saya harap esok dapat bincangkan agar rakan-rakan dalam industri perfileman mendapat kelonggaran yang lebih, khususnya di kawasan yang telah mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Annuar berkata kerajaan juga akan menambah baik proses penyampaian berita media rasmi, khususnya laporan berita berkaitan kepentingan negara.

Beliau berkata perkara tersebut akan diteliti, bagi memastikan media rasmi dapat menyalurkan berita yang tepat dan pantas kepada rakyat, berbanding media sosial.

“Saya rasa ada sedikit penambahbaikan yang perlu kita (kerajaan) lakukan, agar mesej kita kepada rakyat lebih efisyen dan cepat.

“Ketika ini orang berlumba-lumba (di media sosial) untuk menyampaikan berita lebih awal, sedangkan kita ada media rasmi, jadi kita perlu perbaiki keadaan ini,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu