Kuala Lumpur Post

Nation

PM, jemaah menteri hadiri pemukiman di Cyberjaya

CYBERJAYA — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan hari ini menghadiri sesi pemukiman di sini bagi memberi penumpuan kepada mencari ikhtiar baharu untuk melonjakkan ekonomi negara.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, tiba pada kira-kira 2.40 petang dengan disambut oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sesi pemukiman itu dijangka bermula pada 3 petang.

Semalam, Anwar berkata pemukiman itu juga akan meneliti pelaksanaan dasar yang telah dilancarkan oleh kerajaan sepanjang tahun lalu.

Ahmad Zahid sebelum ini berkata satu sesi pemukiman Perdana Menteri bersama barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan akan diadakan selama dua hari di Cyberjaya bermula hari ini.

Sesi pemukiman pertama Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri yang berlangsung di Putrajaya pada Januari tahun lepas antara lain membincangkan soal hala tuju dan penetapan petunjuk prestasi utama setiap kementerian dalam Kerajaan Perpaduan.

Tags: , ,