Nation
149
0

PM lancar Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025

Putrajaya – Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini menanam pokok merbau di perkarangan Seri Perdana, iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri di sini bagi memulakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.

Usai menanam pokok itu, Muhyiddin menyampaikan amanatnya yang turut disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), dengan mengajak rakyat menjayakan agenda penghijauan Malaysia dengan menanam pokok.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah bersama-sama menjayakan agenda penghijauan Malaysia dengan menanam 100 juta pokok di seluruh negara menjelang tahun 2025,” katanya.

Beliau melancarkan kempen itu serta aplikasi mudah alih dan laman web khas Program Penghijauan Malaysia; www.100jutapokok.gov.my.

Turut hadir, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Timbalannya, Ali Biju; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Zurinah Pawanteh.

Pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok turut diadakan secara serentak di seluruh negara dengan tema ‘Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’ atau ‘Greening Malaysia: Our Trees, Our Life’.

Dalam kenyataan media sempena kempen itu, Muhyiddin berkata, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok adalah sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia, satu daripada agenda nasional bagi perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Beliau berkata, program itu akan memulihara kepelbagaian biologi yang menjadi khazanah negara tidak ternilai, meningkatkan kualiti persekitaran semula jadi dan sungai.

“Program Penghijauan Malaysia juga satu ikrar dan komitmen kerajaan yang berlandaskan Wawasan Kemakmuran Bersama untuk menyumbang kepada masa hadapan yang lebih hijau,” katanya.

Kempen anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli itu dilaksanakan melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), jabatan perhutanan negeri, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan kerajaan negeri, menyasarkan penanaman 100 juta pokok menjelang 2025.

Muhyiddin berkata, melalui kempen terbabit, JPSM menganggarkan akan terdapat peningkatan kawasan hutan dipulihara sebanyak 20,000 hingga 80,000 hektar menjelang 2025, bergantung kepada jarak penanaman.

“Kempen ini dijangka menyumbang kepada penyerapan karbon dioksida, di antara 30 juta tan di kawasan bandar hingga 85 juta tan di kawasan hutan dan lain-lain dalam setahun,” katanya.

Katanya lagi, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bertujuan mempertahankan kekayaan alam semula jadi negara dalam semua aktiviti pembangunan sosioekonomi dan mengekalkan pengiktirafan ke atas Malaysia sebagai antara 12 negara ‘megadiverse’.

Sehingga kini, beliau berkata, Malaysia berjaya mencatatkan litupan hutan sebanyak 55.3 peratus selari dengan komitmen negara di Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992, iaitu memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara dilitupi pokok dan kawasan hutan.

Ketika mengajak semua lapisan masyarakat, termasuk syarikat serta badan korporat untuk menyokong agenda nasional itu, Muhyiddin berkata, “Mulakan azam tahun baharu 2021 dengan bersama-sama menghijaukan bumi Malaysia! Pokok Kita, Kehidupan Kita”. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu