Nation
149

PM mengorak langkah ke hadapan selesaikan isu MA63 : Dr Jeniri

Kuching – Komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyelesaikan isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah gambaran jelas kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikannya secara tuntas.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir, berkata Perdana Menteri yang menyentuh perkara itu ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) semalam, telah mengorak satu lagi langkah ke hadapan dalam mengharmonikan lagi hubungan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Isu berkenaan MA63 ini tidak boleh dilewat-lewatkan lagi sebab ia sudah sekian lama dibincangkan. Harus dilihat pencapaian yang pantas, yang konkrit melalui strategi di bawah tempoh tertentu (dalam mencari penyelesaian).

“Hanya dengan (penyelesaian) ini sahaja bukan sahaja dapat memuaskan hati rakyat Sabah dan Sarawak tetapi akan lebih memberi makna kepada aspirasi awal pejuang kemerdekaan dan juga gagasan Keluarga Malaysia yang dikemukakan Perdana Menteri,” katanya kepada Bernama, di sini.

Menurutnya, jika tuntutan di bawah MA63 ini dapat dipenuhi dalam tempoh terdekat ini, sudah pasti akan memberikan kelebihan kepada kerajaan negeri sekarang dalam persiapannya menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

“Ini (menyelesaikan isu MA63) adalah langkah ke hadapan untuk memastikan akan wujud keharmonian dalam hubungan antara negeri dan Persekutuan dan kemudiannya memberi kesan kepada bagaimana rakyat di negeri ini bertindak balas dalam pilihan raya akan datang,” kata Jeniri.

Menurutnya, Perdana Menteri turut memberikan komitmen yang jelas untuk memastikan pembangunan di kedua-dua negeri di kepulauan Borneo itu dapat dipacu dengan lebih pesat berdasarkan perancangan untuk merapatkan lagi jurang antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Saya percaya jika semua projek ini dilaksanakan dengan efektif tanpa ketirisan, dilaksanakan mengikut jadual akan memberi kesan limpahan besar dalam usaha untuk memacu dari segi pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti dan taraf hidup penduduk di bandar dan luar bandar,” tambahnya, lapor Bernama.

Tags: , , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu