Nation
202
0

PM Muhyiddin lancar Dasar Perpaduan Negara

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Dasar Perpaduan Negara yang bersifat inklusif, jelas dan kohesif, demi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang kukuh teras perpaduannya.

Muhyiddin berkata Dasar Perpaduan Negara yang berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian itu menetapkan strategi jangka panjang dalam usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat.

Tiga objektif utama yang ditetapkan dalam dasar ini adalah mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat-menghormati dan bertanggungjawab serta melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.

“Kerajaan amat menyedari akan hakikat bahawa perpaduan adalah tunjang kemakmuran negara, maka ‘Perpaduan dalam kepelbagaian’ yang berteraskan ‘model integrasi’ inilah yang kita hasratkan untuk rakyat Malaysia.

“Ini kerana berdasarkan sejarah, kita rakyat Malaysia telah menerima hakikat bahawa masyarakat negara ini adalah majmuk dan pelbagai latar belakang pegangan agama, pengenalan bangsa dan budaya,” katanya semasa melancarkan Dasar Perpaduan dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2030-2030 secara maya menerusi Facebook Kementerian Perpaduan Negara.

Oleh kerana perbezaan dan kepelbagaian itu, kata perdana menteri, maka usaha ke arah mewujudkan perpaduan di negara ini perlu dilengkapi dan dilandasi usaha integrasi berterusan.

Pada masa sama, Muhyiddin menjelaskan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2030 yang dihasilkan itu pula adalah bagi menyokong strategi-strategi dalam Dasar Perpaduan Negara serta menetapkan aspirasi perpaduan yang ingin dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Penggubalan Dasar Perpaduan Negara ini adalah berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara selaras dengan dasar-dasar utama negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Rancangan Malaysia Lima Tahun dan dasar-dasar lain yang berkuat kuasa.

“Rakyat Malaysia sejak sekian lama berpegang kepada Rukun Negara… tidak kiralah sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Melanau, orang asal atau mana-mana etnik sekalipun, bergelar warganegara Malaysia, maka inilah ciri-ciri yang wajib kita hayati,” katanya.

Muhyiddin selain itu, turut menyeru semua pihak terutamanya agen penggerak perpaduan yang terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan pemegang taruh berkaitan supaya bekerjasama untuk memastikan semua objektif itu dicapai.

Tegasnya Dasar Perpaduan Negara adalah dasar bersama dan semua pihak adalah ejen perpaduan yang akan membawa aspirasi ini ke hadapan. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu