Nation
132
0

PM Muhyiddin mahu hubungan KL-Jakarta ke peringkat strategik

Jakarta – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu hubungan kerjasama Kuala Lumpur-Jakarta dipertingkatkan lagi ke peringkat yang strategik.

Beliau yakin peningkatan hubungan dua hala itu akan membolehkan kedua-dua negara mengoptimumkan kerjasama yang sudah terjalin terutamanya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

“Hasil daripada perbincangan kami pada hari ini, saya berpendapat sudah sampai masanya bagi hubungan kerjasama Malaysia dan Indonesia dipertingkatkan lagi ke peringkat yang strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan empat mata di Istana Merdeka di sini, Jumaat.

Muhyiddin yang dalam rangka lawatan rasmi ke negara ini berkata pengukuhan kerjasama tersebut mencerminkan tekad kedua-dua pemimpin serumpun itu untuk berganding bahu demi menjaga kemakmuran bersama.

“Sehubungan ini, kami telah memberi mandat kepada kedua-dua Menteri Luar untuk mengenal pasti bidang-bidang strategik yang boleh diberi keutamaan,” kata perdana menteri.

Beliau berpuas hati terhadap hubungan dua hala yang bertambah kukuh di setiap peringkat.

Usaha juga akan dipergiatkan untuk merangsang semula perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara dalam tempoh pandemik COVID-19, katanya.

“Perbincangan awal telah pun dimulakan di peringkat kerja. Saya berharap kedua-dua pihak akan dapat menggiatkan lagi rundingan bagi memperincikan prosedur operasi standard (SOP) untuk pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) tersebut.

Mengenai kempen anti minyak sawit yang berlaku terutama di Eropah, Australia dan Oceania, Muhyiddin berkata Indonesia dan Malaysia sebagai dua negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia akan terus bekerjasama dalam berhadapan dengan isu diskriminasi tersebut.

“Ini bagi memastikan kita dapat melindungi industri sawit, terutamanya bagi menyelamatkan berjuta-juta pekebun-pekebun kecil yang bergantung hidup sepenuhnya kepada industri sawit di Malaysia dan Indonesia.

Menyentuh mengenai isu Myanmar, Muhyiddin berkata Kuala Lumpur dan Jakarta memandang serius keadaan politik semasa di negara itu yang merupakan satu langkah ke belakang dalam proses demokrasi di negara tersebut.

“Adalah dikhuatiri pergolakan politik di Myanmar boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

“Sehubungan ini, saya sangat bersetuju dengan cadangan supaya kedua-dua menteri luar diberi mandat untuk mencari kesepakatan supaya satu mesyuarat khas ASEAN diadakan bagi membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam,” kata perdana menteri.

Perbincangan dua hala itu turut menyentuh kerjasama alam sekitar termasuk isu perubahan iklim dan jerebu rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Melalui kerjasama ini, Muhyiddin berkata agensi-agensi yang bertanggungjawab di kedua-dua negara akan dapat berkongsi amalan terbaik yang ada dalam pengurusan ladang dan tanah gambut.

Selain itu, kedua-dua kementerian yang bertanggungjawab juga akan mewujudkan ‘focal point’ bagi memudahkan komunikasi dalam isu alam sekitar dan jerebu rentas sempadan, katanya.

Pertemuan empat-mata itu turut menyentuh soal pengambilan tenaga kerja dan pekerja domestik Indonesia di samping inisiatif bagi memelihara kebajikan dan kesejahteraan nelayan Malaysia dan Indonesia yang menjalankan aktiviti perikanan di kawasan yang mempunyai isu maritim. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu