Nation
358

PM Muhyiddin pengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra

Putrajaya – Selepas menyampaikan perutusan khas mengenai perkembangan politik negara, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di Perdana Putra di sini.

Muhyiddin tiba di Perdana Putra kira-kira 12.10 tengah hari selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Kira-kira 12.30 tengah hari, Muhyiddin bersiaran secara langsung untuk memaklumkan bahawa beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Ketika menyampaikan perutusan itu yang turut dihadiri beberapa menteri Kabinet, Muhyiddin berkata Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik COVID-19.

Menteri-menteri kelihatan mula memasuki bangunan Perdana Putra pada 11.30 pagi bagi menghadiri mesyuarat Kabinet itu.

Mesyuarat Kabinet hari ini berlangsung lebih sejam dan kenderaan yang membawa Muhyiddin meninggalkan perkarangan Perdana Putra pada kira-kira 2.15 petang diikuti kenderaan yang membawa menteri-menteri.

Usaha media untuk mendapatkan komen para menteri di luar perkarangan Perdana Putra tidak berhasil dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan ketika ditemui hanya menjawab ringkas, ‘tiada apa’, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu