Nation
103

PM Muhyiddin pengerusikan mesyuarat Kabinet

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Mesyuarat Kabinet pagi tadi adalah yang kali pertama diadakan selepas UMNO memutuskan supaya tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada PRU-15 dan kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) diteruskan hingga pembubaran Parlimen pada Perhimpunan Agung UMNO 2020, Ahad lalu .

Mesyuarat Kabinet itu turut dihadiri sembilan menteri dari UMNO iaitu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Kanan (Keselamatan); Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wlayah Persekutuan); Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (Menteri Tenaga dan Sumber Asli); Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi); Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Belia dan Sukan); Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Menteri Luar); Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ); Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Menteri Perpaduan Negara) dan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan)

Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin berkata, semua menteri dari UMNO akan terus kekal berada dalam Kabinet hasil kesepakatan yang dicapai.

Perdana Menteri berkata, dengan kesepakatan itu, Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang.

“Menteri-menteri UMNO menemui saya pada Isnin lalu. Mereka meminta nasihat saya mengenai kedudukan mereka di dalam Kabinet, berikutan keputusan Perhimpunan Agung UMNO bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Saya menasihati mereka supaya terus kekal berada di dalam kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.

Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan dicapai bahawa semua Menteri UMNO akan terus kekal berada di dalam Kabinet,” katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat Kabinet itu dijalankan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu dengan menggunakan penghadang cermin antara satu sama lain. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu