Nation
191
0

PM Muhyiddin rakam ucapan Selamat Maju Jaya kepada calon SPM

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan selamat maju jaya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, yang bermula esok.

Menerusi catatan di laman Facebook beliau, Muhyiddin turut mendoakan semua calon peperiksaan diberikan kesihatan yang baik, dipermudahkan menjawab soalan serta memperoleh kejayaan dan cemerlang dalam kehidupan.

“Kepada semua calon, jagalah kesihatan dan jawablah soalan dengan tenang. Kepada guru dan ibu bapa, semoga didikan dan doa anda semua mengiringi kejayaan pelajar-pelajar kita. Insya-Allah,” katanya.

Muhyiddin berkata, walaupun pandemik COVID-19 memberi kesan kepada pembelajaran pelajar, namun beliau berkeyakinan bahawa semangat untuk berjaya dan dedikasi para guru dalam menyampaikan ilmu, mampu menyuntik semangat untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan itu.

Seramai 401,105 pelajar seluruh negara akan menduduki SPM 2020 dalam suasana pembudayaan norma baharu. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu