Nation
178

PM Muhyiddin terima suntikan pertama vaksin Covid-19

Putrajaya – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima suntikan vaksin COVID-19, menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang menyasar untuk memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Perdana menteri menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11 di sini, yang merupakan antara Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikenal pasti bagi program imunisasi terbesar negara itu.

Muhyiddin tiba di pusat kesihatan itu pada kira-kira 2.25 petang dan melalui lima stesen di PPV untuk menjalani proses vaksinasi tersebut.

Stesen pertama untuk saringan gejala dan suhu, diikuti stesen kedua untuk pendaftaran bagi mengesahkan kehadiran untuk suntikan vaksin COVID-19, stesen ketiga bagi proses konsultasi dan persetujuan imunisasi, stesen keempat bagi menerima suntikan vaksin COVID-19 dan stesen kelima ialah stesen pemerhatian.

Turut menerima suntikan pertama dan merupakan antara yang terawal menerima vaksinasi dalam program imunisasi itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Empat petugas KKM itu ialah Dr Tan Yee Ling, Sheilla Mellissa Sikin, Khairul Asraf Mohd Yasin dan Clement a/l Marai Francis. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu