Nation
227

PM Muhyiddin ucap tahniah kepada Azizulhasni

Kuala Lumpur – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan syabas dan tahniah kepada jaguh trek berbasikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang telah menghadiahkan pingat perak buat negara menerusi acara keirin lelaki pada temasya Olimpik Tokyo, hari ini.

Perdana Menteri berkata kejayaan itu sudah tentunya akan menambahkan keceriaan buat kontinjen negara sebelum temasya sukan tersohor itu melabuhkan tirainya hari ini.

“Biar apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip di pentas sukan terbesar ini tentunya memberi makna cukup signifikan buat anda dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan. Seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang anda tunjukkan.

“Saya turut merasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi. Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini. Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara,” katanya dalam catatan yang dimuat naik di Facebook rasminya.

Dalam saingan peringkat akhir yang penuh dramatik, Azizulhasni yang diberi gelaran “The Pocket Rocketman” melintasi garis penamat untuk pingat perak, sekali gus meleburkan harapannya memenangi pingat emas Olimpik pertama bagi Malaysia.

Dalam perlumbaan itu, penyandang juara Jason Kenny dari Britain meraih pingat emas manakala pelumba Belanda Harrie Lavreysen, merangkul pingat gangsa.

Perdana menteri turut mengucapkan syabas dan terima kasih kepada seorang lagi pelumba trek berbasikal negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang sanggup mengetepikan kesakitan dialaminya untuk meneruskan perlumbaan demi negara.

“Kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula, saya ingin katakan yang kegagalan mengiringi Azizulhasni ke peringkat akhir tidak seharusnya mematahkan semangat anda.

“Iltizam dan semangat ‘Demi Malaysia’ yang dipamerkan apabila sanggup mengetepikan kesakitan yang dialami semasa di peringkat saringan dan suku akhir dengan sendirinya membuktikan anda adalah wira yang perlu disanjungi. Terima kasih Shah Firdaus,” katanya.

Muhammad Shah Firdaus tidak berjaya mara ke peringkat separuh akhir selepas menduduki tempat terakhir dalam Saringan Dua di peringkat suku akhir.

Pelumba berumur 25 tahun itu mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan dengan pelumba Britain Jack Carlin dalam Saringan Dua pusingan pertama, yang menyaksikan beliau dibawa untuk mendapatkan rawatan di Juntendo University Shizuoka Hospital.

Muhyiddin turut merakamkan ucapan syabas kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, barisan kejurulatihan dan seluruh kontinjen Malaysia di atas kejayaan berkenaan, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu