Nation
265

PM Muhyiddin umum PKP seluruh negara

Petaling Jaya – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pengurusan Covid-19 membuat keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Menurut Perdana Menteri, untuk itu larangan rentas daerah dan negeri dikuatkuasakan kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Jelasnya, tarikh kuat kuasa larangan itu berkuat kuasa hari ini hingga 6 Jun.

“Ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa Aidilfitri adalah tidak dibenarkan.

“Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah.

“Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardhu lima waktu dan solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, sepanjang tempoh itu, semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi.

Selain itu jelasnya, majikan diwajibkan melaksanakan dasar bekerja dari rumah (WFH) dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus kakitangan pengurusan pada setiap masa.

Menurutnya, ketetapan juga dikuatkuasakan terhadap larangan semua aktiviti sukan dan rekreasi kecuali sukan dan rekreasi individu di kawasan terbuka seperti jogging, berbasikal dan senaman dengan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Semua institusi pendidikan ditutup. Pengecualian diberikan kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa. Pusat asuhan kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga.

“Dine-in di restoran dan kedai makan adalah tidak dibenarkan,” katanya. – Utusan Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu