Nation
82

PM selamat terima suntikan dos kedua

Putrajaya – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini selamat menjadi individu pertama yang menerima dan melengkapkan pengambilan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech.

Beliau menerima suntikan itu di Klinik Kesihatan Presint 18 di sini pada pukul 3.15 petang tadi.

Turut mengambil dos kedua ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang selesai disuntik pada pukul 3.20 petang.

Proses vaksinasi itu dikendalikan oleh dua orang vaksinator iaitu jururawat Klinik Kesihatan Presint 9, Mazirah Mokhtar untuk suntikan kepada Perdana Menteri dan Ketua Jururawat Pusat Kesihatan Presint 11, Lina Ibrahim untuk suntikan kepada Noor Hisham.

Hadir sama menyaksikan proses vaksinasi itu ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Pada 24 Februari lalu, Muhyiddin menjadi individu pertama menerima vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Putrajaya sekali gus menandakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah bermula di seluruh negara.

Turut menerima vaksin pada hari tersebut ialah Noor Hisham bersama empat petugas kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini berkata, mengikut jadual dos kedua vaksin Comirnaty perlu diambil selepas 21 hari pengambilan dos pertama. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu