Politics
319

PM tawar kerjasama dengan pembangkang, kembali kestabilan politik

Kuala Lumpur – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri hari ini menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Menyeru semua pihak agar meleraikan perebutan kuasa dan menamatkan keresahan rakyat, beliau berkata kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan, termasuklah dengan mewujudkan kerjasama rentas parti.

“Menyorot kembali tempoh sepenggal selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, dengan hanya berbaki 21 bulan sebelum PRU-15, negara telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri.

“Sebenarnya, peralihan tersebut dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara,” katanya, hari ini.

Ucapan itu disiarkan secara langsung menerusi platform media Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), TV3, Astro Awani dan TV AlHijrah.

Ismail Sabri berkata semua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana dan perlu mendakap erat prinsip kebersamaan, seiring dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kebawah Duli Tuanku dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti baru-baru ini telah bertitah kepada semua agar melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Sementara itu, perdana menteri berkata kerajaan pimpinannya akan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi serta berikrar untuk memberikan hasil yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat tidak dipersiakan.

Beliau berkata hasrat itu hanya berupaya dicapai melalui kerjasama daripada seluruh pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara.

“Marilah kita bersama-sama sebagai ‘Keluarga Malaysia’ mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika dulu. Saya membulat tekad, bekerja bersama rakyat,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara, semalam bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lepas setelah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu