Kuala Lumpur Post

Nation

PM yakin rakyat rasai hikmah keadilan, kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin bahawa seluruh rakyat merasai hikmah keadilan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memastikan keamanan dapat dinikmati oleh semua sepanjang pemerintahan Seri Paduka.

Perdana Menteri berkata keprihatinan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terhadap kebajikan rakyat jelata juga melangkaui batasan biasa antara raja dengan rakyat.

“Bermula dengan ketidakstabilan dan simpang-siur politik yang berpanjangan, penularan serta hentakan pandemik Covid-19 dan kelesuan ekonomi silih berganti telah meletakkan negara dalam ketidaktentuan dan kegawatan.

“Namun Tuanku menyempurnakan amanah pemerintahan dengan sempurna melalui sifat-sifat yang merakyat serta istiqamah menyelami denyut nadi rakyat jelata dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan terus diutamakan dalam apa jua keadaan,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam Sembah Ucapan pada Majlis Jamuan Negara sempena tamat pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di sebuah hotel di sini malam Sabtu.

Anwar berkata tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah juga mencatatkan satu lembaran sejarah baharu dengan negara dan jentera pentadbiran kerajaan diuji seperti pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali sehingga memerlukan pengemudian cekap selain pengorbanan semua pihak melangkaui amalan biasa.

Beliau berkata kewujudan konsep Raja Berperlembagaan dan peranannya dalam sistem demokrasi bercorak Westminster ternyata melonjak peri pentingnya terutama dalam merungkai mehnah dan kemelut politik yang berpanjangan di masa lalu.

“Ini dapat kita saksikan kebijaksanaan Tuanku dalam kemelut pertukaran Mamanda Perdana Menteri sebanyak tiga kali sehingga pilihan raya baharu diadakan pada penghujung November 2022 yang akhirnya menunjukkan bahawa tidak ada satu parti politik pun yang memperoleh majoriti yang cukup untuk mendirikan kerajaan.

“Tuanku, seperti yang terpamer pada ketika itu, akhirnya menitahkan agar sebuah kerajaan yang stabil dan kuat ditubuhkan yang merangkumi semua kaum, semua negeri dan wilayah di negara ini sebagai jalan memecah kebuntuan politik.

“As they say, the rest is history dan detik ini menandakan betapa sistem Raja Berperlembagaan telah menjadi keutamaan yang tepat dalam menjawab kemelut politik,” katanya.

Anwar turut menzahirkan penghargaan atas cetusan kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah dalam mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang telah berjaya mempertaut permuafakatan dan memungkinkan kestabilan serta kedudukan politik negara.

“Berbekalkan kepercayaan ini dan keprihatinan terhadap rakyat tambah memperkuat iltizam patik bersama Jemaah Menteri dalam memastikan negara ditadbir dengan baik demi mengangkat darjat negara serta tahap kesejahteraan rakyat.

“Insya-Allah, kerajaan bertekad untuk terus berusaha dan berbakti dengan sepenuh jiwa raga demi rakyat dan negara tercinta,” kata Perdana Menteri.

Selain itu, beliau berkata keprihatinan Al-Sultan Abdullah terhadap keadaan ekonomi negara menyuntik semangat memperkasa komitmen kerajaan untuk memberi tumpuan terhadap pelaksanaan pembaharuan struktur ekonomi dan meningkatkan daya saing Malaysia bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara yang lebih inklusif, kukuh serta mampan.

“Hasilnya, Malaysia telah mencapai kedudukan ke-29 dalam aspek Kecekapan Kerajaan seperti yang terpamer dalam Daya Saing Dunia 2023,” kata beliau.

Tags: , ,