Kuala Lumpur Post

Nation

PN pertahan kerusi Dun Sungai Bakap

NIBONG TEBAL — Perikatan Nasional (PN) berjaya mengekalkan penguasaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap apabila calon mereka Abidin Ismail menang kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna Jawi, di sini, malam ini.

Abidin, 56, secara rasmi memenangi kerusi berkenaan dengan memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.

Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal yang mesra dengan panggilan Abang Bidin menang dengan majoriti 4,267 undi, membolehkan beliau meneruskan legasi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Dengan kemenangan Abidin, sekali gus menyaksikan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) gagal untuk merampas kembali kerusi kawasan yang pernah dimenangi PKR selama tiga penggal bermula 2008.

Berdasarkan statistik SPR, sebanyak 39,222 orang daripada 39,279 pengundi berdaftar layak mengundi manakala 57 orang terdiri daripada anggota polis telah mengundi secara pos yang menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka untuk PRK itu walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai lalu.

Sebanyak sembilan pusat pengundian melibatkan 65 tempat mengundi atau saluran dibuka sejak jam 8 pagi tadi.

Peratusan keluar mengundi yang dicatatkan sehingga pusat pengundian ditutup jam 6 petang merekodkan 63.45 peratus dan 208 kertas undi ditolak.

Mengikut komposisi kaum, pengundi Melayu terdiri daripada 59 peratus, diikuti Cina 22.5 peratus, India 17.4 peratus dan bangsa-bangsa lain satu peratus.

Seramai 552 petugas SPR serta 800 pegawai dan anggota polis bertugas mengawal keselamatan dan menjaga ketenteraman awam bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

Terdahulu, PRK kawasan itu diadakan semula susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal mewakili PN diangkat menjadi wakil rakyat selepas menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.