Nation
214

PN tawaran baharu rakyat, PAS sokong Muhyiddin

Kuala Lumpur – PAS menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) merupakan ‘tawaran baharu’ kepada rakyat Malaysia demi memastikan kebajikan rakyat terjamin.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ia juga demi mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan mengekalkan keharmonian antara kaum.

“PAS berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang, konsep adil untuk semua, kepimpinan berintegriti dan berakhlak budiman serta mengambil pendekatan politik yang menyatukan ummah,” kata Ahli Parlimen Marang itu dalam satu hantaran Facebooknya semalam.

Justeru beliau menyeru semua pihak supaya mendukung pendekatan sederhana, prihatin rakyat dan berkebajikan yang dibawa oleh PN.

Beliau juga menyeru agar semua pihak menolak pendekatan ekstrem, oportunis dan melampau yang tidak sesuai dengan negara Malaysia bermasyarakat majmuk.

Sabtu lepas ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang ke-49 secara maya di sini, Perdana Menteri berkata PN adalah tawaran baharu kepada rakyat dan ingin kekal sebagai sebuah gabungan politik yang berkongsi aspirasi negara untuk generasi akan datang.

Sementara itu di Kota Kinabalu, SABAH, senada dengan Hadi, Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee berkata tawaran baharu itu perlu disokong dan perkukuhkan demi manfaat semua pihak, kerana beliau berpandangan PN adalah satu-satunya persepakatan politik yang boleh bekerja ke arah kebaikan seluruh rakyat, tanpa mengira bangsa dan agama.

“PN mengandungi pelbagai parti yang mengambil berat mengenai kebajikan bukan hanya satu kaum, tetapi semua, termasuk penduduk Sabah, Sarawak, dan juga kumpulan Orang Asli di semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya persepakatan politik ini adalah satu platform yang menjamin hubungan dalam komuniti dan antara komuniti terus terpelihara mengikut hak perlembagaan mereka, oleh itu tidak ada sebab untuk mencurigai keberkesanan kerajaan ini.

Yong berkata menjadi sebahagian daripada “tawaran baharu” ini adalah cara paling berkesan untuk bangkit mendepani cabaran kebangsaan serta global, dan membawa harapan baharu kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata satu pentadbiran yang kukuh, efektif dan berkesan yang mengandungi persepakatan politik seperti PN adalah kunci kepada Malaysia baharu. — Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu