Nation
286

PN tidak sokong tambah jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat : Muhyiddin

Kuala Lumpur – Perikatan Nasional (PN) tidak menyokong sebarang cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, kata Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Majlis Tertinggi PN berpendirian bahawa tidak ada keperluan tersebut pada masa ini memandangkan dua Timbalan Yang Dipertua seperti yang termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persekutuan adalah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.

Selain itu, Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan juga membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat untuk mempengerusikan Mesyuarat Dewan Rakyat pada masa ketiadaan Yang Dipertua dan Timbalan-Timbalannya.

“Justeru, tiada keperluan bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menambah satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada masa ini. Cadangan pindaan perlembagaan ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhyiddin berkata PN juga berpendirian bahawa persefahaman antara kerajaan dengan pembangkang melalui Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani pada 13 Sept lepas adalah terhad kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama.

Jelas beliau, pindaan perlembagaan untuk menambah jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah tidak termaktub dalam memorandum persefahaman tersebut.

“Justeru, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntut pelaksanaannya,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan penangguhan pemilihan satu jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dikosongkan selepas Datuk Seri Azalina Othman Said meletakkan jawatan pada 23 Ogos lepas.

Penangguhan itu adalah bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu