Nation
213

Polis akan panggil Fahmi Redza kes poster MB Perak

Ipoh – Polis akan memanggil pereka grafik dan aktivis Fahmi Redza bagi membantu siasatan berhubung poster yang dimuat naik di laman sosial Facebook dan Twitter berkaitan Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya membuka kertas siasatan susulan laporan diterima daripada Ketua Pemuda UMNO Perak Mohd Ariff Abdul Majid di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar petang Khamis.

“Kita akan panggil (Fahmi Redza) dan individu lain yang turut terlibat berhubung kes ini untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam Mohd Ariff membuat laporan polis berhubung poster yang disifatkan sebagai fitnah dan sengaja menimbulkan kebencian terhadap Menteri Besar Perak.

Mohd Ariff dilaporkan berkata poster yang dimuat naik Fahmi Redza itu menjadi tular bersama kapsyen berbunyi ‘kita dah bagi makan sardin, jangan gatal nak mintak ayam pulak’ mengundang kecaman dan maki hamun pengguna media sosial yang lain.

Menurut Mohd Ariff berdasarkan video sidang akhbar Datuk Saarani itu, beliau berpendapat Menteri Besar Perak sekadar memberi analogi mengenai sumbangan telefon pintar yang diberi oleh Yayasan YTL kepada kerajaan negeri Perak untuk disumbangkan kepada pelajar miskin.

Katanya rujukan pada klip video di laman Facebook rasmi Menteri Besar Perak mendapati ungkapan seperti tertera di poster yang dimuat naik Fahmi Redza adalah tidak benar dan tidak pernah disebut Saarani. — Bernama

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu