Kuala Lumpur Post

Social

Polis buru 2 suspek lepas tembakan

PASIR MAS — Polis Kelantan sedang memburu dua suspek lelaki yang dipercayai melepaskan tembakan ke sebuah rumah di Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas, di sini, jam 3 pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata berdasarkan laporan, ketika kejadian pengadu bersama sepupunya sedang tidur di dalam rumah sebelum terdengar bunyi tembakan, lapor BH Online.

Katanya, dari pintu utama, mereka sempat melihat dua lelaki melarikan diri menggunakan motosikal jenis Y15 dari arah Kampung Gelang Mas ke Kampung Bunut Susu, di sini.

“Pengadu kemudian keluar meninjau keadaan di hadapan rumah dan mendapati kereta iaitu sebuah Perodua Viva dan Mitsubishi Triton mengalami kerosakan serta pecah cermin kesan tembakan.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, anggota bertugas turut menemui empat kelongsong peluru di hadapan rumah terbabit.

“Kelongsong yang dijumpai disyaki jenis 9 mm dan insiden ini tidak mencederakan mana-mana individu, selain hanya membabitkan kerosakan dua motokar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, manakala motif kejadian masih dalam siasatan.