Kuala Lumpur Post

Social

Polis buru lelaki bertopeng samun kedai runcit guna parang

HULU SELANGOR — Polis sedang memburu seorang lelaki bertopeng yang menyamun sebuah kedai runcit di Jalan Seroja, Bukit Sentosa, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, tindakan suspek yang bersenjatakan parang panjang menetak mesin juruwang di kedai berkenaan sehingga ia terkopak, telah dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum tersebar dalam media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus, berkata insiden berlaku ketika mangsa yang juga warga Bangladesh berusia 30 tahun sedang berniaga.

“Lelaki terbabit didatangi suspek memakai topeng muka dan bersenjatakan parang panjang, yang meluru masuk ke arah kaunter.

“Suspek kemudian memecahkan mesin juruwang dan melarikan wang tunai RM300 bersama dua telefon bimbit milik mangsa. Dia melakukan jenayah itu dalam masa tidak sampai lima minit,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Asri berkata, suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta berwarna hitam yang nombor pendaftaran dan jenisnya tidak dapat dikenal pasti.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan tidak mengalami kecederaan tetapi kerugian RM3,800 akibat kejadian itu.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan (KK). Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menyalurkannya untuk membantu siasatan,” katanya.