KUALA LUMPUR — Polis memburu lelaki yang didakwa melakukan amang seksual ke atas wanita di sebuah pasar raya sekitar Selayang di sini, yang video mengenainya tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan daripada warga tempatan berusia 30-an itu pada Selasa lalu.
“Polis mengesahkan menerima laporan berkenaan yang dipercayai berlaku di sebuah premis di Selayang. Mangsa mendakwa punggungnya dipegang lelaki tidak dikenali.
“Siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, kejadian itu menjadi perbualan warganet selepas video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tular di media sosial.
Video itu memaparkan seorang lelaki berjalan melepasi mangsa sebelum tangannya dilihat menyentuh bahagian punggung wanita berkenaan.