Social
178

Polis buru penyebar berita palsu vaksin AstraZeneca

Kuching – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sedang memburu individu disyaki menyebarkan berita palsu mengenai jumlah dos vaksin AstraZeneca yang diterima Sarawak.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, berkata ia susulan laporan polis dibuat kakitangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berhubung perkara itu, semalam.

Beliau berkata, berita palsu itu mendakwa jumlah dos vaksin AstraZeneca yang sepatutnya diterima Sarawak, telah berkurangan serta menggesa penjelasan diberikan kepada orang awam.

“Siasatan awal mendapati hantaran itu dimuat naik dalam Facebook ‘Sarawak COVID-19 Awareness Group.’

“Ia boleh menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif masyarakat terhadap kerajaan, khususnya kerajaan negeri.

“Tindakan tidak beretika itu turut memburukkan kerajaan yang sedang berusaha sedaya upaya menyediakan vaksin untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, Ahsmon berkata, kertas siasatan sudah dibuka di mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No.2) 2021.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali.

“Polis dengan kerjasama SKMM akan memburu individu terbabit untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya. — BH Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu