Social
357

Polis buru suspek lari dengan tangan bergari

Gua Musang – Polis sedang memburu lelaki disyaki menjual barang curi yang melarikan diri selepas ditahan di Kampung Jias C, Kuala Betis, 12.30 tengah malam Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintandan Sik Choon Foo berkata, sebelum itu suspek, 24, yang berasal dari Pos Tohoi dipercayai pecah rumah di kuarters guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi.

Beliau berkata, polis mengesan suspek sedang berurusan dengan peniaga kedai runcit di Kampung Jias C untuk menjual pelbagai barangan dicurinya.

Katanya, suspek berjaya ditangkap tetapi bertindak agresif sebelum melarikan diri dengan tangan bergari.

“Pada mulanya, suspek lari dengan terjun kedalam sungai berhampiran kampung terbabit dan gagal ditemui anggota yang lancar gerakan mencarinya.

“Penduduk kampung di situ ada memaklum suspek menemui mereka hari keesokan (Selasa) minta tolong supaya buang gari tetapi mereka menolak,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian, hari ini.

Sik berkata, maklumat diterima suspek dipercayai melarikan diri memasuki hutan selepas selamat daripada lemas ketika terjun sungai berhampiran kampung itu.

Beliau berkata, pihaknya selepas itu mengatur strategi lain dan cuba mengesan suspek menggunakan kaedah bantuan unit K9 dari Ibu Pejabat Kontijen Kelantan (IPK).

“Namun demikian sehingga hari ini, kita masih gagal untuk mengesan suspek dan usaha masih lagi diteruskan,” katanya.

“Saksi orang awam juga ada melihat suspek balik ke rumah untuk mengambil makanan dan pakaian sebelum melarikan diri ke arah hutan,” katanya.

Tambahnya, suspek dipercayai seorang penagih dadah yang agresif dan pernah terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di perkampungan Pos Tohoi.

“Kita juga turut mengesan rakan suspek berusia 26 tahun bagi membantu siasatan kes pecah rumah guru di SK Pos Tohoi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 223 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 224 kanun sama kerana lari dari tahanan. — Harian Metro

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu