Social
420

Polis cadang Neelofa, suami dikenakan kompaun

Petaling Jaya – Polis mencadangkan agar kompaun dikenakan terhadap pasangan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd. Noor atau Neelofa dan suaminya, Haris Ismail susulan majlis perkahwinan mereka yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, bagaimanapun jumlah kompaun bergantung kepada keputusan Timbalan Pendakwa Raya.

“Setakat ini kita sudah serahkan kertas siasatan berhubung majlis perkahwinan usahawan berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Timbalan Pendakwa Raya yang akan putuskan sama ada beliau akan didakwa atau sebaliknya. Kita hanya beri cadangan agar beliau dikenakan kompaun,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular sekeping gambar di media sosial memaparkan tetamu yang hadir di majlis perkahwinan Neelofa gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga mendapat kecaman ramai.

Dalam majlis itu, Neelofa, 32, selamat diijabkabulkan dengan pendakwah bebas, Haris Ismail, 26, di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac lalu.

Susulan insiden itu, polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Kemudiannya, pada 5 April lalu, Neelofa dan pasangannya itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu