Nation
111

Polis cadang sekolah abai SOP hingga cetus kluster baharu dikompaun

Kuantan – Polis Pahang mencadangkan tindakan kompaun dikenakan terhadap sekolah yang mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) sehingga mencetuskan kluster baharu COVID-19 di institusi pendidikan tersebut.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Task Force COVID-19 negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dalam masa terdekat.

“Polis seboleh-bolehnya tidak mahu mengeluarkan kompaun, namun tindakan ini dilihat sebagai langkah terakhir kita memastikan semua pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya supaya tidak berlaku kluster baharu di sekolah.

“Selain polis dan pihak sekolah, ibu bapa juga perlu peka dengan situasi anak. Jika mereka bergejala atau tidak sihat, jangan benarkan anak ke sekolah kerana ia berisiko mengakibatkan perkara tidak diingini yang seterusnya menyukarkan pihak lain,” katanya.

Abd Jalil berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Permuafakatan Polis Pahang bersama Jabatan Pendidikan Pahang di sini hari ini yang dipengerusikan bersama dengan Pengarah Pendidikan negeri Mohammad Rosli Abdul Rahman.

Bagi membantu pematuhan SOP di sekolah, Abd Jalil berkata unit rondaan bermotosikal (URB) dan kereta peronda (MPV) akan ditempatkan pada waktu puncak, iaitu balik dan pulang bagi membantu pegawai perhubungan sekolah mengawasi keadaan.

Pada perkembangan lain, Abd Jalil berkata kesalahan trafik merupakan kesalahan paling banyak melibatkan pelajar sekolah di Pahang diikuti kesalahan berkaitan dadah dan kesalahan seksual manakala masalah gengsterisme antara paling kurang berlaku.

“Kesalahan trafik paling tinggi ialah tidak mempunyai lesen…kita akan bekerjasama dengan pihak berkaitan mencari kaedah menawarkan harga lebih murah kepada mereka yang ingin mengambil lesen.

“Bagi kesalahan berkaitan dadah, kita dapati kebanyakan pelajar terlibat dengan air ketum kerana harganya lebih murah. Mesyuarat hari ini bersetuju penekanan isu ini diberikan kepada sekolah di kawasan tanah rancangan kerana banyak berlaku di situ,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu