Social
385

Polis cari 6 lelaki bantu siasatan kes bunuh

Pasir Puteh – Polis sedang mencari enam lelaki termasuk dua remaja bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga asing, yang mayatnya ditemukan di jeti pendaratan ikan Tok Bali, di sini, 4 Nov lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata polis telah menahan enam suspek kes itu dan sedang berusaha mengesan enam lagi, yang berumur antara 17 hingga 28 tahun dan berasal dari Kampung Haji Wan Omar, Semerak, di sini.

Beliau berkata enam yang sedang dicari terdiri daripada Muhammad Zulkpile Udin, 28, Muhamad Nazri Yusoff, 25, Mohamad Farhiman Ismail, 22, Muhamad Mustaqimiey Abdul Jais, 19, serta dua remaja lelaki berusia 17 tahun.

“Orang ramai yang mengenali mereka diminta menyalurkan maklumat ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa dicederakan sekumpulan lelaki selepas dituduh cuba menceroboh masuk sebuah premis perniagaan.

“Dalam kejadian itu, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang dengan kakinya diikat pada tali selain terdapat kesan koyak pada kepala serta kecederaan lain dipercayai dipukul beramai-ramai sebelum mayat dibuang di jeti pendaratan ikan di Tok Bali,” katanya.

Terdahulu Shafien menyaksikan majlis serah menyerah tugas antara Supt Mohd Azmir Damiri dengan DSP Ediansha Endal.

Mohd Azmir akan bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Tumpat manakala Ediansha menggantikan Azmir sebagai Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu