Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Social

Polis cari ‘Datuk’ tipu projek naik taraf jalan raya libatkan kerugian RM1.93 juta

KOTA KINABALU — Polis Sabah sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Datuk Yusri Bin Yusoh’ yang terlibat dengan kes penipuan projek naik taraf jalan raya yang tidak wujud di negeri ini melibatkan kerugian RM1.93 juta.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata pihaknya telah menerima lapan laporan polis mengenai kes tersebut yang dikatakan berlaku dalam bulan ini.

Beliau berkata suspek telah memperdaya mangsa dengan meminta membayar sejumlah wang deposit bagi mendapatkan projek tersebut.

“Mempercayai kata-kata ini, mangsa telah membayar antara RM30,000 sehingga RM650,000 (setiap pembayaran) dengan keseluruhan kerugian berjumlah RM1.93 juta.

“Ekoran itu pihak polis sedang mencari lelaki ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat Insp Tilmanshah Wasli di talian 016-5785962 atau 088-529761.

Tags: , , ,