Social
281

Polis cedera tertembak ketika kejar penjenayah

Kuala Lumpur – Seorang anggota polis berpangkat koperal cedera di lengan kanan selepas tertembak diri sendiri, ketika mengejar penjenayah dalam kejadian di Taman Len Seng, Cheras di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.45 malam itu, anggota berusia 30 tahun itu bersama sepasukan pegawai dan anggota sedang melakukan rondaan, sebelum terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dalam keadaan mencurigakan di Cheras Sentral.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata sebaik pemeriksaan ingin dilakukan, kereta yang dipandu seorang lelaki bersama teman wanitanya itu, bertindak melanggar kenderaan polis lalu melarikan diri.

Menurutnya apabila tiba di Jalan Len Seng, berlaku kemalangan melibatkan kenderaan suspek dan polis menyebabkan anggota yang duduk di bahagian depan penumpang itu, tertembak lengan kanannya.

“Suspek kemudian bertindak melarikan diri sejauh berlari 300 meter dan melompat dari tebing yang ketinggiannya kira-kira enam meter, sebelum ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan itu.

“Anggota polis kemudian menghubungi ambulans bagi mendapatkan rawatan, namun lelaki yang didapati mempunyai 25 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kes itu, disahkan telah meninggal dunia,” katanya pada sidang media di hadapan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM) di sini, hari ini.

Katanya hasil pemeriksaan terhadap kenderaan suspek, polis menahan teman wanitanya dan menemukan pelbagai peralatan, yang disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah dan kedai.

Sejurus selepas itu, polis menahan tiga lelaki termasuk warga Indonesia dan Myanmar dalam serbuan di Cheras dan Taman Len Seng, dipercayai terlibat dalam kumpulan pecah rumah dan kedai dengan suspek.

Kesemua suspek yang berumur 30 hingga 48 tahun itu, akan ditahan reman bermula hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh dan 457 Kanun yang sama kerana pecah rumah.

Mayat suspek dihantar ke HCTM UKM untuk dibedah siasat, manakala anggota polis yang cedera turut dihantar ke hospital yang sama, untuk mendapatkan rawatan. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu