Kuala Lumpur Post

Social

Polis edar fotofit suspek simbah asid Faisal Halim

KUALA LUMPUR — Polis mengedarkan lakaran fotofit wajah suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes simbah asid membabitkan pemain sayap Selangor FC Faisal Halim.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain dalam satu kenyataan berkata suspek lelaki itu berusia dalam anggaran 30 tahun, dengan ketinggian 160cm, bersaiz badan sederhana, dan berkulit sawo matang.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu berwajah seperti lakaran fotofit ini diminta menghubungi pegawai penyiasat M Jagachandran di talian 012-684 8166 atau 03-2266 6071, atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Dalam kejadian pada 5 Mei lalu, pemain Harimau Malaya yang juga penjaring gol tercantik Piala Asia lecur di beberapa bahagian badan iaitu sekitar leher, bahu, lengan dan dada.

Faisal yang dikenali sebagai ‘Mickey’ dirawat di sebuah hospital swasta dan keadaannya dilaporkan stabil.

Serangan terhadap Faisal berlaku beberapa hari selepas pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid, disamun dua individu ketika pemain kebangsaan itu juga selesai latihan.

Akhyar dilaporkan cedera di kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun.

Beberapa hari selepas itu, cermin kereta bekas kapten Harimau Malaya dan Johor Darul Ta’zim, Safiq Rahim, dipecah menggunakan tukul oleh individu menunggang motosikal.