Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Social

Polis jumpa pistol milik suspek ditembak mati

KUALA LUMPUR — Polis menjumpai sepucuk pistol jenis Smith & Wesson dipercayai milik lelaki yang mati ditembak di sebuah kondominium di Salak Selatan pada 18 Jun lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata senjata api itu ditemukan pada 1.30 tengah hari, Selasa lepas susulan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Toyota Estima di kawasan sekitar suspek ditembak.

“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai satu beg kitar semula di bawah tempat duduk pemandu yang mengandungi pistol itu selain enam peluru hidup di dalam kebuk dan tujuh peluru hidup di dalam sebungkus sampul duit.

“Kenderaan itu dipercayai digunakan oleh suspek sebelum kejadian tembakan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Azmi berkata berdasarkan maklumat risikan, pihaknya percaya senjata api tersebut adalah milik suspek dan siasatan kini diteruskan bagi mengesan saki-baki ahli kumpulannya serta senjata api.

Beliau sehubungan itu menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai pemilikan senjata api yang boleh membantu siasatan itu kepada Bilik Gerakan Siasatan Jenayah di talian 03-2146 0685 atau Pegawai Penyiasat ASP Mohd Hasni Hussin di talian 019-998 4444 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini, polis dilaporkan berjaya menembak mati seorang lelaki berusia 40 tahun dan menahan lapan individu lain dalam beberapa operasi di Lembah Klang.

Kumpulan yang bergerak aktif sejak 2009 itu dipercayai terlibat dalam 15 kes samun, tiga kes bunuh dan pelbagai kes melibatkan dadah, pecah rumah dan curi kenderaan, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,