Nation
110

Polis kesan Astari bantu siasatan kes bot meletup di Semporna

Semporna – Polis sedang mengesan seorang lelaki warga asing bernama Astari bagi membantu siasatan berkaitan kes letupan bot di perairan Pulau Tatagan dekat sini pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata lelaki berusia 40 tahun dan beralamat di Kampung Halo di sini dicari susulan penemuan kubur baharu di Tanah Perkuburan Kampung Halo, dipercayai mangsa kejadian letupan bot itu ditanam.

“Mayat itu dipercayai anak kepada Astari dianggarkan berusia 10 tahun yang maut selepas bot meletup dipercayai berpunca daripada bom ikan.

“Pihak polis mendapatkan perintah mahkamah dan proses menggali kubur dijalankan pasukan forensik polis termasuk pasukan perubatan dari Hospital Semporna untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Susulan itu, Mohd Farhan berkata sebarang maklumat berkaitan Astari boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes Insp Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah menerusi talian 019-8139851 atau 089-782020.

Mohd Farhan berkata siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan susulan perkembangan terbaharu kes itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikatakan hilang selepas dipercayai terkena letupan bot itu ditamatkan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai melaporkan maklumat berkaitan kegiatan bom ikan di daerah ini kerana aktiviti berkenaan merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu