Social
402

Polis kesan beberapa individu disyaki culik dua pekerja restoran

Kuala Lumpur – Polis sedang mengesan beberapa individu disyaki terlibat dalam kes melarikan dua pekerja lelaki warga India. dari sebuah restoran di Brickfields di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata, dua lelaki yang dilarikan itu didakwa merupakan bekas pekerja sebuah restoran di Pandamaran, Klang.

Beliau berkata, dalam kejadian pada kira-kira 2 petang itu, pengurus sebuah kedai makan di Brickfields mendakwa didatangi beberapa lelaki, yang kemudian bertindak menarik keluar dua lelaki warga India terbabit secara paksa dari dalam premisnya.

“Siasatan polis mendapati beberapa individu terbabit menarik keluar dua lelaki warga India didakwa bekas pekerja sebuah restoran di Klang itu, yang telah melarikan diri susulan kegagalan majikan lamanya membayar gaji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar berkata salah seorang mangsa yang dilarikan, dilapor pernah membuat laporan polis pada Sabtu lepas di Klang kerana mendakwa majikannya gagal membayar gajinya.

“Susulan daripada itu, kedua-dua mangsa bertindak melarikan diri dan menumpang di sebuah restoran di Brickfields,” katanya.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Hari ini, tular sebuah rakaman video kamera litar tertutup berdurasi 19 saat, memaparkan tindakan beberapa individu bertindak menarik keluar dua lelaki warga India secara paksa dari dalam sebuah restoran di ibu kota hari ini. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu