Social
224

Polis kesan individu langgar SOP ketika riadah

Ipoh – Polis sedang mengenal pasti sekumpulan individu dalam sebuah video yang tular berikutan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika beriadah di Bukit Bangkong, Tanah Hitam, Chemor di sini pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya akan memanggil sesiapa sahaja yang dikenali dalam rakaman tersebut dan menjalankan siasatan secara menyeluruh.

“Kita akan memanggil sesiapa sahaja yang dikenali dan dicam dalam video untuk direkod percakapan. Kita akan tengok dahulu apakah pelanggaran (kesalahan) yang dilakukan selain mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti tersebut.

“Apabila siasatan selesai, kita akan majukan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya. Kita tetap akan jalankan siasatan walaupun ia video lama kerana ia telah tular dan menimbulkan kegelisahan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan polis berhubung kes tersebut selepas menyerahkan kotak makanan bersama Lions Clubs kepada golongan kurang berkemampuan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial satu klip video yang memaparkan sekumpulan individu yang didapati gagal mematuhi SOP Fasa 2 PPN ketika beriadah di Bukit Bangkong.

Yahaya berkata kes disiasat di bawah Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu